SELAMAT DATANG - WELCOME - AHLAN WASAHLAN - HUANYING

Thursday, May 1, 2008

Bersama YB Baru

Among the new effects of post-elections was the setting up of new institutions to act as bridge between the people and the new administration. At the grassroot level, a Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) was formed and for the neighbourhood I am staying, such committee was established some three weeks ago.

Headed by my good friend Fauzi, I was also invited to sit in as a Committee Member and my first assignment was to "cover" and prepare a report to be posted in the Committee's newly established blogsite on the Committee's maiden community project, Dialog Bersama YB.

So, wearing the cap of a reporter, I was on field to carry out the task and this was what reported :-

Setelah bahang pilihanraya sudahpun reda, maka kini tibalah masanya bagi wakil-wakil rakyat yang menang menunaikan segala janji yang ditaburkan tempohari atau setidak-tidaknya pun memulakan usaha untuk mengotakan janji-janji itu.

Sesuai dengan motto pasukan Pakatan Rakyat yang ingin memerintah mengikut kehendak rakyat atau setidak-tidaknya menjaga kepentingan rakyat umum, satu inisiatif untuk mempertemukan semula wakil-wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya umum yang baru lalu dengan para pengundi yang telah memertabadkan wakil-wakil rakyat ini sebagai YB baru mereka telah dibuat oleh Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) Bukit Rimau, sebuah jawatankuasa yang baru sahaja diujudkan baru-baru ini.

Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) Bukit Rimau ini dianggotai oleh wakil-wakil masyarakat sekitar Daerah Mengundi Bukit Rimau yang merangkumi sebahagian seksyen 32 Shah Alam yaitu Kemuning Greenville, Kemuning Greenhills, Berjaya Park, Rimau Indah, Rimau Perdana serta Bukit Rimau sendiri.

Diketuai oleh Sdr. Fauzi, jawatankuasa ini walaupun bertunjangkan platform politik Pakatan Rakyat, namun anggota-anggotanya tidaklah khusus kepada ahli-ahli parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Falsafah "Politik bukanlah segalanya" tapi keadilan dan kesejahteraan rakyat lebih utama, nyata penekatan pentadbiran baru negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat amat disenangi rakyat. Buktinya hampir 300 orang penduduk Bukit Rimau sudi melapangkan masa riadah mereka di hari cuti umum untuk menghadiri satu Majlis Dialog Bersama YB yang dianjurkan oleh JDM ini.

Kehadiran ramai penduduk di satu majlis yang biasanya sukar dapat dipenuhi memberi semangat baru kepada JDM untuk terus merancang beberapa lagi program sosial yang bakal melibatkan semua penduduk berbagai kaum dan kejiranan untuk masa kehadapan.

Sdr. Fauzi dalam ucapan alu-aluannya memperkenalkan institusi JDM yang antara lain akan berfungsi selaku jambatan komunikasi penduduk dengan wakil-wakil rakyat baru ini serta mengusahakan segala permasalahan penduduk dengan pihak-pihak berkuasa yang lain melalui wakil-wakil rakyat baru ini.

Menurut Sdr. Fauzi, beliau amat mengharapkan agar penduduk menggunakan majlis yang dianjurkan itu untuk memberikan input yang bernas kepada wakail-wakil rakyat baru untuk mereka memahami permasalahan akar umbi rakyat dan serentak dengan itu dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikannya dengan berkesan.

Dengan jemputan utama terdiri dari YB Dr. Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja) serta YB Shuhaimi Hj Shafie (Ahli DUN Sri Muda), majlis diperlengkapkan juga dengan kehadiran Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mazalan Md. Noor serta Ketua Polis Balai Seksyen 15 Shah Alam, Cif Inspektor Khairoul Najmi Jaafar.

Setelah setiap seorang tetamu utama menyampaikan ucapan pendahuluan masing-masing, dialog dimulakan dengan Sdr. Fauzi selaku pemudahcaranya.

Berbagai isu diketengahkan dan diantaranya menyentuh soal keselamatan serta mutu syarikat-syarikat keselamatan yang mengawal kawasan-kawasan kediaman sekitar, kesibukan lalulintas di Persiaran Sungai Selangor, masalah banjir di Bulatan Bukit Rimau, kes-kes denggi serta puncanya, keujudan premis tadika tanpa berlesen, keujudan Akta-akta serta Undang-undang Kecil yang tidak memihak kepada rakyat atau yang memberi ruang kepada unsur-unsur yang tidak sihat seperti salahguna kuasa dan rasuah,ketiadaan Dewan Orang ramai di Bukit Rimau, kebanjiran pendatang asing ke dalam negara, masalah pembekalan air di kawasan Apartmen, gejala ponteng, lepak dan samseng pelajar sekolah, masalah jerubu, penyelenggaraan taman-taman permainan, status tanah perkuburan Islam Kota Kemuning dan tidak ketinggalan soal pembiayaan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil.

Respons yang diberikan terhadap permasalahan-permasalahan tersebut adalah seperti berikut :-

Soal Keselamatan serta Mutu Syarikat-syarikat Keselamatan
Menurut Cif Inspektor Khairoul, semua syarikat-syarikat keselamatan yang menawarkan kidmat di kawasan-kawasan perumahan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Walaupun mungkin terdapat beberapa syarikat-syarikat ini yang melanggar peraturan KDN seperti menggaji pengawal warganegara asing selain dari negara-negara yang dibenarkan, pihak polis selama ini mengambil sikap berlembut terhadap syarikat-suarikat ini dengan tidak mengganggu operasi mereka bagi mengormati kehendak penduduk yang inginkan kawasan-kawasan perumahan mereka dikawal oelh syarikat-syarikat keselamatan ini.

Namun demikian, pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima apa-apa aduan berkaitan syarikat-syarikat keselamatan ini dari penduduk.

Beliau juga menambah yang tahap keselamatan di Bukit Rimau dan sekitarnya buat masa ini adalah baik dan terkawal. Atas pertanyaan salah seorang penduduk, beliau juga akan menghantar pegawainya untuk menyiasat kawasan tapak Balai Polis Bukit Rimau yang selama ini terbiar. Sekiranya perlu, langkah-langkah pembersihan akan dilakukan.

Dimaklumkan bahawa nombor-nombor telefon pondok-pondok polis di Berjaya Park dan Kota Kemuning tidak tersenarai dalam Direktori 103, beliau menyatakan yang ianya akan disemak dengan Telekom Malaysia dan usaha akan dibuat bagi menyenaraikannya dalam Direktori tersebut.

Datuk Bandar Mazalan turut menjelaskan bahawa terdapat peraturan yang berbeza bagi kawasan perumahan berhak milik strata dengan hak milik individu. Kawasan Perumahan berhak milik strata dibolehkan memagarkan kawasan perumahan mereka sebagai kawasan persendirian tetapi tidak kepada kawasan perumahan berhak milik individu. Kawasan perumahan berhak milk individu adalah kawasan awam dan dengan itu tidak boleh dipagar seolah-olah ianya satu kawasan persendirian.

Pihak Majlis Bandaraya walaubagaimanapun tidak menghalang pendirian pondok-pondok keselamatan tanpa palang penghalang bagi mempertingkatkan tahap keselamatan setempat.

Kesibukan lalulintas Persiaran Sungai Selangor
Menjawab cadangan salah seorang penduduk supaya trafik di Persiaran Sungai Selangor dilarang digunakan oleh lori-lori tangki, Datuk Bandar Mazalan menjelaskan yang ianya sukar dibuat memandangkan jalan tersebut adalah jalan awam.

Banjir di Bulatan Bukit Rimau
Dalam pada masa pihak MBSA mengambil maklum tentang masalah ini, penduduk diberitahu oleh YB Shuhami bahawa beberapa perbincangan dengan pihak JPS telahpun dibuat bagi mencari jalan penyelesaian kepada lokasi-lokasi banjir yang telah dikenalpasti. Beliau yakin dengan beberapa lagi tindakan susulan, masalah ini akan dapat diatasi.

Kes-kes Denggi serta puncanya
MBSA mengambil maklum satu aduan yang dikemukakan penduduk berkaitan penutup "Inspection Chamber" milik Telekom Malaysia yang dibiarkan terbuka dan mungkin membiakkan jentik-jentik. Lawatan akan dibuat ke tapak yang berkenaan dan tindakan susulan dijanjikan.

Sementara itu Datuk Bandar Mazalan memohon kerjasama penduduk memastikan tiada tempat takungan air di premis serta persekitaran masing-masing.

Keujudan Premis Tadika Tanpa Berlesen
Datuk Bandar Mazalan memohon maaf atas keujudan satu premis Tadika tanpa berlesen di Kota Kemuning yang berterusan walaupun telah dibantah penduduk sejak tiga tahun lalu. Beliau memohon tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

Keujudan Peruntukan Akta / Undang-Undang Kecil "Negatif"
YB Shuhaimi berjanji akan mengenalpasti mana-mana peruntukan Akta atau Undang-undang Kecil yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat atau yang memberi ruang kepada penyalah gunaan kuasa atau rasuah dan seterusnya memajukan cadangan-cadangan agar peruntukan-peruntukan itu dipinda.

Ketiadaan Dewan Orang Ramai di Bukit Rimau
Datuk Bandar Mazalan mengesahkan bahawa pihak MBSA tidak mempunyai peruntukan yang cukup bagi mendirikan Dewan-dewan Orang Ramai yang baharu memandangkan peruntukan sediada hanya cukup bagi menampung kos penyelenggaraan sahaja. Beliau berharap pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru dapat melakukan sesuatu bagi membantu MBSA melaksanakan projek-projek kemasyarakatan yang baru.

Kebanjiran Pendatang Asing
YB Mariah bersetuju dengan pandangan seorang penduduk yang kelemahan peraturan imigresen negara adalah salah satu punca kebanjiran pendatang asing di negara ini. Beliau akan menggunakan platform Ahli Parlimen beliau untuk terus menerus menyuarakan hasrat rakyat agar permasalahan ini ditangani dengan sesempurna mungkin.

Masalah Pembekalan Air Apartment
Datuk Bandar Mazalan memaklumkan bahawa peraturan baru yang berkuatkuasa mulai April lalu bakal menyelesaikan beberapa masalah yang berhubungkait dengan pemaju atau pengurusan Apartmen.

YB Shuhaimi pula mengesyorkan agar Persatuan-persatuan Penduduk bagi sesetiap blok bergabung bagi mencapai tahap "kekuatan" yang lebih dalam berdepan dengan pemaju atau pengurus Apartment yang degil atau yang bermasalah.

Menurut beliau lagi, di peringkat pentadbiran Negeri, satu pelan sedang dirancang bagi "mengharamkan" mana-mana pemaju degil serta bermasalah dari mendapat projek-projek perumahan baharu dalam Negeri Selangor.

Gejala Ponteng, Lepak dan Samseng Pelajar Sekolah
Cif Inspektor Khairoul menyatakan yang pihaknya tidak mempunyai kuasa khusus dalam menangani masalah-masalah ini. Oleh yang demikian, pendekatan pihak polis selama ini hanyalah setakat memberi nasihat kepada pelajar-pelajar terbabit melalui pegawai perantara polis yang dijudkan disetiap sekolah.

YB Shuhaimi mencadangkan supaya pihak polis sekurang-kurangnya membuat lawatan berkala ke tempat-tempat yang dikenalpasti sebagai tempat "favourite" pelajar-pelajar itu berlepak agar pelajar-pelajar itu tidak akan lagi menjadikan tempat-tempat itu sebagi stesyen mereka.

Masalah Jerebu

YB Shuhami memberitahu penduduk bahawa sememangnya punca-punca jerebu di kawasan Bukit Rimau dan sekitar telahpun dikenalpasti. Pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak DOE untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Masalah yang berpunca dari pembakaran sampah sarap di tempat pelupusan sampah haram akan diberikan keutamaan manakala masalah jerebu yang berpunca dari pembakaran terbuka kawasan pertanian akan cuba ditangani sebaiknya.

Walau apa-apapun, kedua-dua punca jerebu ini terletak diluar kawasan pentadbiran MBSA, demikian dijelaskan oleh Datuk Bandar Mazalan.

Penyelenggaraan Taman Permainan
Datuk Bandar Mazalan mengesahkan yang penyelenggaraan Taman-taman permainan adalah terletak dalam bidangtugas MBSA. Pihak MBSA akan melawat semua tapak-tapak taman permainan dan akan mengambil tindakan-tindakan perlu.

Status Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning
Datuk Bandar Mazalan menjelaskan yang tanah perkuburan itu sedang dalam kes mahkamah dan dijangka disebut sekali lagi pada bulan Julai nanti. Beliau mengesyorkan penduduk menggunakan kemudahan tanah perkuburan moden pelbagai agama di Seksyen 21 sementara menanti hasil keputusan mahkamah terhadap kes tersebut.

Isu Pembiayaan Sekolah Aliran Cina dan Tamil
YB Dr. Mariah memberitahu penduduk yang isu ini sekarang sedang diperjuangkan oleh MCA. Selaku pembangkang yang bertanggungjawab, segala cadangan yang dibawa oleh MCA berkaitan sekolah aliran cina dan tamil akan disokong oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Begitulah berakhirnya kupasan isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk. Sesungguhnya apa yang nyata adalah kepuastian penduduk terhadap tahap komitmen YB serta Datuk Bandar serta Cif Inspektor dalam menyelesaikan masalah mereka.

Seperti biasa, mana bisa majlis berakhir tanpa santapan. Ya, jamuan secara ala kadar yang disediakan secara bergotong-royong serta sumbangan beberapa orang penduduk dijamah penduduk perbagai kaum dengan riang dan gembira.

Dalam mengucapkan selamat tinggal kepada YB-YB baru mereka kedengaran suara-suara "jangan lupa datang lagi" ditujukan kepada YB-YB baru itu.

Satu lagi projek kemasyarakatan yang berjaya - tahniah kepada JDM pimpinan Sdr. Fauzi



Jasni AJ

2 comments:

JDM Bukit Rimau said...

Jasni,
Thanks for your well organized report on the event.

"So, wearing the cap of a reporter, I was on field to carry out the task"

~ Thank you to RTM too for sponsoring the cap.

Jasni AJ said...

Jdm a.k.a. Fauzi,

Semua orang sudah beralih ke siaran RTM, anda bila lagi?

Itulah lawak RTM yang paling lawak di zaman Zam Zam.

Jasni AJ